Apakah Awal Sains Pra-sekolah?
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka dengan menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Murid pra-sekolah merupakan saintis muda semula jadi yang sentiasa mencari maklumat, menyiasat dan meneroka di persekitaran untuk memenuhi perasaan ingin tahu mereka. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif, sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Penerokaan dijalankan terhadap alam hidupan (contoh: tumbuhan dan haiwan), alam bahan (objek tenggelam timbul, air dan magnet), dan alam fizikal. Komponen awal sains pada peringkat pra-sekolah melengkapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap positif dalam diri mereka.
PENGENALAN
Murid perlu melibatkan diri dalam proses pembelajaran sains secara inkuiri untuk memperolehi dan menguasai kemahiran seperti memerhati, membanding, meramal, berkomunikasi, mengelas dan mengukur. Kemahiran-kemahiran ini diperlukan untuk mendapatkan maklumat seperti:
- bagi memenuhi rasa ingin tahu,
- menanamkan semangat cintakan alam,
- meningkatkan daya kreatif dan imaginasi
- meningkatkan keupayaan menyelesaikan masalah
- meningkatkan kualiti hidup
- mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran saintifik
- membina pemahaman konsep asas sains
- meningkatkan pemikiran logik dan kritis
- memupuk minat terhadap sains dan teknologi
PERANAN GURU DALAM AKTIVITI AWAL SAINS
Guru harus merancang dengan teliti pengajaran dan pembelajaran sains yang akan dijalankan mengikut keperluan, minat dan persekitaran murid untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Aktiviti yang dijalankan mestilah melibatkan semua murid secara aktif, mencabar, menyeronokkan dan memberi makna kepada mereka. Melalui cara tersebut, sikap positif murid terhadap pembelajaran sains akan ditanam dengan lebih kukuh. Pembelajaran sains di peringkat ini diajar berdasarkan tema tertentu supaya dapat menarik minat murid berkaitan dengan keadaan semasa seperti musim buah-buahan, perayaan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment